Sunday, 13 November 2011

Hakikat Persiapan Perkahwinan

Saya merasakan kita perlu wujudkan post mortem dengan apa kita lakukan dan apa yang berlaku di sekeliling kita. Namun, kita perlu mengelak dari menjadi kebiasaan diri kita yang selalunya mencari alasan untuk membenarkan cara, walhal kita perlu mencari kebenaran untuk mengetahui cara.

Di musim perkahwinan yang lalu, rata-rata seronok sekali berkenduri kendara dengan pelbagai tema dan mengharungi pelbagai rintangan dalam persiapan. Rata-rata majalah dan ceramah agama menyentuh aspek larangan dalam kebiasaan menganjurkan walimatulurus seperti pakaian, kelalaian masa, pertembungan antara budaya dan agama, dan pembaziran wang. Namun, aspek persiapan dicanang-canang seawal 3 hingga 4 bulan, sehingga dianjurkan Wedding Festival dan Pameran Kerja Kahwin.

Secara umumnya, kita melihat bahawa kaum hawa lebih fokus dan komited dalam melakukan persiapan perkahwinan, dari persiapan jemputan, ketibaan, hiburan, bersanding dan makan beradap serta fotografi. Di pihak lelaki, rata-rata kita menyaksikan lelaki lebih cenderung bersiap sedia menghadapi saat akad nikah. Terutamanya berkenaan soalan-soalan cepu emas.

Tidak terlepas pandang, dikalangan lelaki yang mempersiapkan diri untuk malam pertama. Baju bersanding, keadaan dewan, jemputan dan berbagai lagi kebiasaannya menjadi pak turut sahaja. Kerenah manusia, ada juga lelaki begitu cerewet berkenaan persediaan begitu, kadang lebih cerewet dari perempuan pula.

Walaubagaimanapun, sejak kebelakangan ini, sekali pandang telah mula nampak kesedaran di kalangan bakal pengantin kerana ada mula membuat persiapan yang hakiki, persiapan untuk menjadi seorang pemimpin keluarga, pendidik keluarga dan seorang yang melengkapi imannya.

Begitulah perkahwinan yang mengubah dengan mengangkat martabat seseorang. Alangkah ruginya jika kita tiada kesedaran ini dan beranggapan bahawa perkahwinan adalah semata-mata untuk berumah tangga dan untuk menghalalkan perhubungan antara lelaki dan perempuan.

Menyedari hakikat perkahwinan ini mengangkat martabat seseorang, maka persiapan perlu dibuat. Bagaikan kita akan ditabal menjadi seorang raja. Kita tidak mahu menjadi seorang raja yang bodoh dan dibonekakan. Oleh itu, ilmu itu perlu.

Bagi seorang lelaki, perlu dia mempelajari sebanyak mungkin ilmu agama terutamanya fiqh dan tasawuf. Tidak hanya ilmu itu berkaitan perkahwinan, ini kerana, dia akan menjadi ketua keluarga bagaikan kapten kapal yang akan mengarah arah tuju kemudi kapal. Seorang kapten kapal tidak hanya perlu tahu perihal kapalnya, tetapi juga berkenaan geografi, petunjuk bintang, lautan, pemakanan serta pertahanan.

Jika kamu pembaca ini adalah seorang wanita, mintalah dia bawa kamu atau dia menghadiri kuliah-kuliah agama atau kelas pengajian dewasa di masjid-masjid berdekatan. Insya-Allah dengan usaha yang sedikit, akan membawa keberkatan dan ilmu itu datang kepada kita tanpa kita duga.

Ilmu berumahtangga, terutamanya kaedah-kaedah menghadapi konflik juga penting. Perkahwinan akan menggabungkan 2 keluarga dan seorang suami itu mengetuai jalingan antara dua keluarga ini. Tidak semudah dijangka, konflik dalaman yakni di dalam rumah kita sendiri juga boleh berlaku. Memadai jika bersenang-senang membaca buku-buku motivasi dan hadir ke perbincangan mengenai isu ini.

Ilmu ekonomi rumahtangga antara yang penting dan memainkan peranan besar dalam mengemudi kapal perkahwinan. Sebagai seorang ketua, kita menetapkan bajet dan memastikan anak-anak dan isteri berada dalam keadaan terbaik dalam mencari hala tuju masa hadapan mereka. Buatlah bajet untuk perbelanjaan harian, perbelanjaan ke arah ibadah, zakat dan nafkah.

Ilmu terakhir adalah ilmu menghadapi masalah. Meskipun kita miliki ilmu berumahtangga, ekonomi dan agama sekalipun tetapi kita kurang arif dalam menghadapi masalah, kemungkinan besar kita akan terjerumus ke dalam permasalahan yang lebih besar. Sabar dan bertolak ansur serta menyiasat sebelum bertindak antara kaedah-kaedah dalam menghadapi masalah.

Suka saya menyingkap kata-kata Imam Al-Ghazali, "ilmu semata-mata tidak akan dapat menyelamatkan orang", yang bermaksud, ilmu yang disimpan tetapi tidak diguna pakai akan menjadi sia-sia. Dan orang yang tiada ilmu pula ibarat kapal yang terapung, selamat, tetapi tidak dikemudikan kemana-mana dan mengikut sahaja kemana air membawanya. Carilah ilmu yang bermanfaat.

Dahulunya kita mampu memperlajari ilmu-ilmu di universiti, melepasi segala peperiksaan dan menggenggam ijazah, tidak mustahil untuk kita mempelajari ilmu agama pula. Yang penting, langkah pertama! Mencari ilmu tidak kenal usia, apa dimalukan untuk belajar meskipun usia sudah lanjut, sedangkan doktor-doktor falsafah umurnya menjangkau 40-50an masih belajar mencari PhD?

Saya amat menyeru agar bakal-bakal suami, juga mereka begelar suami kini dan saya sendiri melukis langkah-langkah untuk menjadi suami yang baik dan pemimpin keluarga yang cemerlang dengan merangka langkah-langkah yang bijak. Terimalah hakikat bahawa persiapan perkahwinan bukan hanya persiapan majlis perkahwinan tetapi persiapan menghadapi seakhir hayat usia gelombang perkahwinan. Apa yang lebih penting adalah hari-hari selepas majlis perkahwinan. Sedangkan majlis perkahwinan hanyalah bertujuan mewar-warkan pernikahan yang telah sah untuk mengelak fitnah dan sekadar memori indah untuk kita kenang-kenangkan ketika cabaran mendatang.

- Artikel iluvislam.com

Thursday, 13 October 2011

‎[INFO] KEMULIAAN IBU MENGANDUNG DALAM ISLAM


1. Dua rakaat solat wanita yang hamil lebih baik dari 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

2. Wanita yang hamil dapat pahala puasa disiang hari & pahala ibadat dimalam hari.

3. Wanita yang bersalin dapat pahala 70 thn solat & puasa serta setiap kesakitan pada satu uratnya, Allah bagi satu pahala haji.

4. Sekiranya wanita meninggal dunia dalam masa 40 hari selepas bersalin ia dikira sebagai mati syahid. ...

5. Wanita yang beri minum susu badannya kepad anaknya akan dapat 1 pahala daripada tiap titik susu yang diberikannya.

6. Wanita yang beri minum susu badannya kepad anaknya yang menangis maka Allah beri pahala satu tahun pahala solat & puasa.

7. Kalau wanita menyusui anaknya hingga cukup tempoh 2 setengah tahun, maka malaikat dilangit khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.

8. Seorang ibu yang menghabiskan masa malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit dapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.

9. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anaknya yang sakit akan di ampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya & bila dia hiburkan hati anaknya Allah beri 12 tahun pahala ibadat

Wednesday, 21 September 2011

Dialog antara suami-isteri soleh & solehah


Di malam yang hening, merupakan malam pertama bagi sepasang suami isteri ini, malam penentuan pertarungan hak dan batil. Malam yang dinanti-nantikan oleh sepasang mempelai yang baru hangat diraikan dalam majlis kenduri tengahari tadi. Alam bagaikan mengerti, hujan rintik-rintik dan sejuk yang nyaman di perkampungan seperti ingin membasahkan kehangatan suami isteri malam ini.

Suatu yang mengesankan ialah inilah kali pertama mereka bersua muka, menatap wajah pasangan dengan lebih dekat, menyentuh kulit mulus isteri yang dicintai dan inilah debaran malam pertama bagi mereka. Sebelum ini , mereka tidak pernah sedekat ini, jika adapun bertemu di hadapan keluarga masing-masing, jika ada pun bertemu bersama kawan-kawan. Tidak pernah mereka berjalan beriringan, tidak pernah mereka menjangka bahawa satu perkenalan, satu masa yang singkat terus membawa kepada jinjang pelamin. Alam pernikahan yang begitu asing bagi mereka.

Malam semakin larut, si suami membasahkan tubuhnya menyucikan diri. “Aneh” bisik isterinya. Di malam-malam begini yang dingin mengapa perlu membasahkan tubuh? Lebih aneh selepas itu suaminya masuk ke bilik belakang yang kosong agak lama sehingga memaksa isterinya mengintip di celahan pintu bilik itu. Alangkah terkejutnya, suaminya seakan mati, kaku dengan gerakan sujud dan terdengar esakan kecil umpama merintih.

Dia tahu apa yang dilakukan oleh suaminya dan dia akur. Itulah cinta suaminya yang sejati. Dia tidak perlu cemburu dengan cinta itu dan dia pernah berfikir walaupun segunung cintanya pada suaminya, tidak akan sama dengan cinta suaminya di bilik kosong itu. Dia menunggu, bertelekung di atas taburan bunga mawar di atas katil empuk itu. Si suami keluar dan memandang tepat ke arah isterinya, isterinya menunduk malu.

Isteri : Mengapa awak pilih saya?

Suami : Kerana awak berniqab (memakai purdah).

Isteri : Ramai kan yang berniqab?

Suami : Kerana awak ada agama.

Isteri : Ramai kan yang ada agama?

Suami : Kerana awak adalah jodoh ketentuan dari Allah S.W.T.

Isteri kehabisan soalan, dia tahu jawapan itu tidak ada persoalan lagi.

Suami : Saya jumpa awak yang saya nampak hanya 2 biji mata, saya tak tahu wajah awak dan selepas itu saya terus tidak melihat wajah awak, tetapi saya melihat di rumah awak, di hadapan ibu bapa awak. Ketika mereka menyaksikan hasrat saya untuk memiliki awak dan ketika awak membuka niqab, saya tidak perlu tahu selanjutnya wajah awak kerana itu bukan tujuan utama saya memiliki awak.

Isteri : Saya tidak cantik…

Suami : Lebih baik beristerikan perempuan yang berkulit hitam, berbibir tebal tetapi mempunyai Agama dalam dirinya adalah nikmat yang paling cantik daripada memiliki isteri yang berkulit mulus, tetapi tiada agama dalam dirinya. Tetapi jika cantik dan ada agama itu adalah anugerah Allah kepada saya. Tetapi adakah perempuan sedar, mereka yang menampakkan kecantikan yang haram didedahkan tetapi akhirnya mereka adalah bahan bakar di neraka kelak.

Wana’uzubillah.

Isteri : Saya juga ingin cantik…

Suami : Sayang, kecantikan awak takkan kekal. Awak akan dimakan usia. Tetapi mahukah awak kekal cantik selamanya?

Isteri: Itu yang saya mahukan…

Suami : Mahukah awak menjadi secantik bidadari, malah lebih dari itu?

Isteri: Perempuan di dunia ini sehabisnya menyolek diri mereka umpama bidadari tetapi adakah mereka berjaya?

Suami : Ada caranya, malah tidak perlu berhabis ribuan ringgit!

Isteri: Yakah?, tunjukkan caranya!

Suami : Rasulullah pernah bersabda, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.”

Isteri : Saya kurang faham, di mana alat-alat mekapnya?

Suami : Rasulullah pernah bersabda, “Jika perempuan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, nescaya ia akan masuk syurga.” (HR. Al-Bazaar).

Isteri : Bagaimana cantiknya saya di dalam syurga nanti?

Suami : Tolong ambilkan Al-Quran atas meja tu dan Tafsir Ibnu Kathir yang kawan awak hadiahkan tu. Awak ada wudukkah?

Isteri : Ada. Nanti sekejap.

Suami : Lihat Surah Al-Waqiah, “Sesungguhnya kami akan ciptakan mereka secara langsung.” (ayat 35 ), Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa wanita baik mereka itu tua atau tidak mereka akan dibangkitkan dengan ciptaan yang baru. Dalam keadaan mereka itu muda dan perawan. Ini dikuatkan lagi dengan ayat yang berikutnya “Dan Kami jadikan mereka itu gadis perawan” (ayat 36).

Isteri : Saya belum dapat bayangkan macam mana cantiknya saya nanti.

Suami : Dalam ayat yang seterusnya Allah berfirman lagi “(Tentang wanita) penuh cinta (kepada suami mereka) lagi sebaya umur” (ayat 37). Dalam Ayat ini, Allah menerangkan mereka ini (wanita) terlalu asyik mereka hanya kepada suami mereka sahaja manakala suami mereka juga asyik kepada mereka. Cinta mereka hanya kepada suami mereka sahaja (Tafsiran Ibn Abbas).

Isteri : Sahih tu bang, tapi saya nak bayangkan macam mana cantiknya saya dalam syurga nanti.

Suami: Baiklah, tunggu sekejap saya ambil kitab hadith, lihat ini ada Riwayat dari Hadis Tabhrani, sambungan dari yang zahir lebih baik dari yang batin yang saya ceritakan tadi, ingatkah?

Isteri : Oh! ada, saya ingat.

Suami : Maka bertanya lagi Ummu Salamah: Dengan apa yang menyebabkan mereka lebih baik, Baginda pun bersabda: dengan solat mereka, puasa mereka dan ibadat mereka kerana Allah. Malah Allah memakaikan pada muka mereka cahaya, pada badan mereka sutera, kulit mereka berwarna putih, pakaian mereka berwarna hijau, malah mereka dipakaikan dengan perhiasan berwarna kuning (yakni emas) rantai mereka daripada permata, sikat mereka daripada emas. Lalu mereka berkata: Kami kekal (di dalam syurga) dan kami tidak akan mati lagi, kami memperolehi nikmat dan kami tak akan bersedih lagi, kami akan kekal di dalam syurga dan kami tidak akan berpindah, kami adalah orang yang redha dan kami tidak akan marah, beruntunglah sesiapa yang kami (dijadikan) untuknya dan (dijadikan) dia untuk kami. Lalu Ummu Salamah bertanya lagi: Wahai Rasullallah, ada di kalangan kami yang berkahwin dengan dua orang lelaki, atau tiga orang lelaki atau empat orang lelaki (bukan dikumpulkan sekali tetapi merupakan perkahwinan yang kedua selepas kematian, cerai atau lainnya), kemudian perempuan itu mati dan dapat masuk kedalam syurga begitu juga bekas-bekas suaminya juga masuk syurga, maka siapa yang akan menjadi suaminya (di dalam Syurga)? Baginda menjawab: Dia akan memilih yang terbaik di kalangan mereka dari segi akhlak. Nah! Hadith ini dengan jelas menampakkan kelebihan orang wanita daripada bidadari.

Isteri : Alhamdulillah, baru saya faham. Maksudnya jika saya berjaya menjadi wanita solehah dengan ciri-ciri dari firman Allah dan hadith, maka saya akan masuk syurga dan menjadi lebih cantik dari bidadari!

Suami : Wanita yang merupakan ahli syurga juga mendapat nikmat yang tak ternilai banyaknya. Dan nikmat yang diperolehi oleh wanita atau lelaki di dalam syurga adalah sesuai dengan fitrah kejadian kejadian mereka. Cubalah kita renungi baik awak atau pun saya, apakah yang amat dihajati oleh kita dan sekiranya kita diberi peluang nescaya kita akan mendapatkannya? Pada pandangan saya, orang lelaki lebih berhajat kepada wanita manakala wanita pula di samping berhajat kepada suami, akan tetapi kecantikan dan kejelitaan lebih menjadi tumpuan pada mereka. Bukankah semua ini terdapat di dalam syurga?

Isteri : Saya tahu sedikit dari ilmu yang saya kutip, tetapi ada yang saya lupa, eloklah saya mendengar sendiri dari suami saya!

Suami : Ya. Saya juga muzakarah dengan awak, lagi satu, bidadari syurga yang bukan dari kalangan isteri saya akan memarahi awak juga!

Isteri : Hah! Bidadari marah saya? Kenapa? Macam mana awak tahu?

Suami : Buka kitab hadis tadi, baca “Janganlah seorang perempuan menyakiti suaminya di dunia, jika tidak, maka bidadari-bidadari isterinya di syurga akan berkata kepadanya: Janganlah kamu menyakitinya, sesungguhnya ia adalah tamu bagimu yang sebentar lagi akan meninggalkanmu untuk berkumpul bersama kami.” (H.R. Ahmad dan Tirmidzi dari Mu’adz bin Jabal r.a)

Isteri : Wah! Saya amat takut jika awak meninggalkan saya di dunia lebih menyedihkan jika saya tidak dapat berjumpa awak di syurga!

Suami : “Harta yang utama adalah lisan yang senantiasa berzikir, hati yang senantiasa bersyukur dan isteri beriman yang membantu suami dalam menegakkan bangunan imannya.” (H.R. Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Isteri : Alhamdulillah! Baru saya faham sejelasnya, terima kasih abang. Tetapi itukan banyak persoalan tentang saya, bagaimana saya dalam keluarga yang taat kepada perintah Allah, yang menghidupkan sunnah Rasulullah dan akan mendapat nikmat syurga. Bagaimana dengan diri abang?

Suami : Oh itu masa tidak mengizinkan, biarlah kita berbicara satu bab dengan teliti. InsyaAllah.